Warga asing dari Singapura boleh masuk Malaysia

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga asing dari Singapura yang mahu memasuki Malaysia bagi tempoh singkat untuk tujuan rasmi dan urusan perniagaan boleh berbuat demikian menggunakan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, RGL juga terpakai untuk warga Singapura yang mahu memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan dalam tempoh singkat.

"Bagi warganegara Singapura dan penduduk tetap di negara itu yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) untuk bekerja dan perniagaan boleh memasuki Malaysia melalui kemudahan Periodical Commuting Arrangement (PCA).

"Untuk menggunakan kemudahan RGL dan PCA ini, semua pelawat asing perlu membuat permohonan melalui sistem MyTravelPass (MPT) di pautan internet http://www.mtp.imi.gov.my bermula 10 Ogos ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain itu, semua pelawat asing perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengaktifkan aplikasi itu di dalam telefon mudah alih masing-masing.

Katanya, pelawat asing yang menggunakan kemudahan RGL, penaja mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MPT.

"Bagi pelawat asing yang menggunakan kemudahan PCA pula, majikan mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MPT," katanya.

Tambahnya, untuk mendapatkan panduan lengkap tatacara permohonan dan keperluan dokumen bagi kemudahan RGL dan PCA, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Imigresen di pautan internet www.imi.gov.my serta pautan internet pihak berkuasa Imigresen Singapura di https://safetravel.ica.gov.sg.

Artikel Berkaitan:

"Kami menasihatkan semua pelawat asing dan warganegara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini daripada agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

"Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.