Parti baharu Tun M tidak jejas perjuangan Bersatu

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

KUALA NERUS - Penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menggugat perjuangan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semangat ahli-ahli Bersatu masih kekal utuh dan setia bersama kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terbukti mempunyai kebolehan meneraju negara.

“Saya tidak nampak hala tuju perjuangan (parti baharu), kerana hari ini parti kita dah ada dalam kerajaan dan Perdana Menteri juga daripada parti Bersatu sendiri.

“Kalau berkenaan perjuangan, pada saya kita nak bernaung kat mana, atas kapasiti apa pun boleh. Tak semestinya kita ‘berimamkan’ Tun Mahathir, baru perjuangan kita diterima ALLAH.

"Saya kira banyak pemimpin lain, Muhyiddin pun seorang imam (pemimpin) yang kita boleh kita ikuti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Bersatu Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, pada masa sama beliau tidak menolak kemungkinan akan ada ahli yang keluar parti kerana ditawarkan jawatan lebih tinggi dalam parti baharu atau bekas pemimpin bahagian yang tewas dalam pemilihan parti di peringkat bahagian awal tahun ini.

“Hari ini pemimpin kita sudah diterima rakyat, jadi tidak ada alasan untuk kita tinggalkan parti dan Perdana Menteri,” katanya yang turut menepis tohmahan bahawa Bersatu sudah tersasar daripada asas perjuangan menentang amalan kleptokrasi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Razali berkata, Bersatu Terengganu menjangkakan 10 peratus daripada kira-kira 15,000 ahlinya akan keluar parti dan menyertai parti baharu.

Bagaimanapun beliau menyifatkan perkara itu adalah masalah biasa dan tidak akan menjejaskan Bersatu di Terengganu.

“Saya jangka 10 peratus ahli akan keluar, tetapi bukan dalam kalangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam parti,” katanya. - Bernama