Adun Bebas sertai Bersatu

Rasman (dua, kiri) dan Rosleli (dua, kanan) menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Osman.
Rasman (dua, kiri) dan Rosleli (dua, kanan) menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Osman.
A
A
A
ISKANDAR PUTERI - PH Johor memperkukuhkan kedudukan kerusi dalam Dewan Negeri Johor selepas wakil rakyat BN yang keluar Umno selepas PRU14, sah menyertai Bersatu, baru-baru ini.

Wakil rakyat dimaksudkan adalah Adun Sedili, Rasman Ithnain dan Adun Johor Lama, Rosleli Jahari sebelum ini menjadi Bebas.

Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian berkata, kedua-dua wakil rakyat terbabit secara sah diterima sebagai ahli Bersatu mulai 19 November lalu.

"Kedua-dua Adun Bebas itu sudah diterima sebagai ahli Bersatu secara sah. Ini bermakna tiada lagi Adun Bebas di Johor.

"Sebelum ini Adun Endau (Alwiyah Talib) juga sah menyertai Bersatu sejak dua bulan lalu," katanya pada taklimat bersama ketua-ketua biro media Johor sempena pembentangan Belanjawan Johor 2018, di sini hari ini.

Osman yang juga pemangku Pengerusi PH Johor berkata, pengesahan kemasukan tiga Adun terbabit mengambil masa kerana perlu melalui prosedur dan tapisan.

"Nama mereka perlu dibawa kepada MKT dan kita 'submit'. Kita ikut kriteria.

"Kita nampak (Adun Bebas) sokong kita dan kita tidak paksa, dia dengan niat ikhlas dan sukarela dia mahu masuk, jadi kita terima," katanya.

Sebelum ini, tiga Adun tersebut mengumumkan keluar dari BN untuk menyertai Bersatu, namun penyertaan mereka belum disahkan kerana perlu melalui proses penerimaan ahli baharu.
Artikel Berkaitan:


Johor mempunyai 56 kerusi Dun dan pada PRU14, PH memenangi 36 kerusi manakala BN 19 kerusi dan Pas satu kerusi.

Kemasukan tiga Adun tersebut ke parti Bersatu menjadikan PH kini mempunyai 39 kerusi sementara BN pula dengan 16 kerusi.