Tinggalkan UMNO selepas 20 tahun

Haris (dua dari kiri) bersama Muhammad Sanusi (dua dari kanan) ketika berkempen di DUN Derga baru-baru ini.
Haris (dua dari kiri) bersama Muhammad Sanusi (dua dari kanan) ketika berkempen di DUN Derga baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemimpin UMNO Bahagian Pokok Sena memilih untuk menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) selepas hampir 20 tahun berjuang bersama parti itu.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena (2013-2018), Haris Che Mat berkata, mengubah haluan politiknya selepas kecewa dengan kepincangan yang didakwa berlaku dalam parti itu.

Menurutnya, sikap pemimpin parti yang tidak boleh ditegur selain enggan mendengar pandangan ahli parti antara sebab beliau meninggalkan parti keramat itu.

“Saya bersama UMNO selama 20 tahun bermula 2004 hingga hari penamaan calon (29 Julai), sebelum buat keputusan berhijrah dan menyatakan sokongan kepada PN.

“Sepanjang tempoh itu, banyak kepincangan saya lihat, apabila ditegur atau kritik, suara kami tidak didengari.

Saya menegur parti bukan bermaksud tidak menyokong tetapi mahukan satu perubahan,” katanya di sini pada Jumaat.

Haris yang pernah memikul pelbagai jawatan antaranya Setiausaha Kerja UMNO, Naib Ketua Pemuda UMNO negeri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena (2004 hingga 2013) mendakwa, disebabkan itu beliau menawarkan diri bertanding Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena dalam pemilihan parti 2018 untuk membawa perubahan namun tewas.

“Saya mahu perbetulkan kesilapan UMNO di peringkat bahagian sebab selepas BN tewas pilihan raya, pemimpin UMNO tak perbetulkan kesilapan lalu.

Akhirnya tunggu hingga PRN masih sama.

“Mereka hanya perbetulkan diri sendiri untuk dapatkan tempat menjadi ketua bahagian atau calon berbanding usaha bantu rakyat.

“Apabila saya tegur, dimarahi.

Apabila diam, mereka kata tidak aktif, sedangkan mahu bawa perubahan pun disekat,” ujarnya.

Haris yang juga bekas pegawai khas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (2013-2016) berkata, antara kepincangan parti termasuk data keahlian dan pemilihan calon yang disifatkan tidak telus.

“Daftar keahlian cawangan masih tidak dikemas kini, ada yang sudah bersama Bersatu atau meninggal dunia.

Perkara paling mudah pun tidak dilakukan, data keahlian senarai lama.

“BN masih mencalonkan Datuk Said Ali Syed Rastan di DUN Bukit Lada yang dianggap tidak lagi relevan kini.

Walaupun beliau Ketua UMNO Bahagian (Pokok Sena) dibimbangi keakraban beliau dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi faktor dipilih sebagai calon sedangkan bukan calon boleh menang,” jelasnya.

Haris mendakwa, pemilihan nama calon untuk diangkat kepada peringkat negeri juga meragukan.

“Di Parlimen Pokok Sena terdapat tiga DUN (Bukit Lada, Bukit Pinang, Derga).

Ahli jawatankuasa (AJK) DUN Bukit Pinang boleh undi untuk Bukit Lada, ini tak betul.

Sepatutnya di Bukit Lada biarlah AJK situ menentukan pemilihan calon.

“Proses pilih tiga nama untuk dibawa ke peringkat negeri seterusnya ke pusat agak pelik, yang nak bertanding di DUN Bukit Lada, tak adil lah tanya AJK Derga atau Bukit Pinang yang tak terlibat dengan masyarakat DUN itu, pemilihan calon pun pincang,” dakwanya.

Dalam pada itu, Haris memaklumkan sehingga kini masih menjadi ahli UMNO kerana tidak mengumumkan keluar parti.

“Setakat ini saya belum sertai mana-mana parti dalam PN, saya beri sokongan dulu.

Keahlian masih UMNO namun saya bersedia dengan tindakan parti yang pastinya akan pecat saya.

Sehingga hari ini, belum terima surat pemecatan.

“Saya sudah sepentas dengan pemimpin PN, perbuatan itu jelas salah dari sudut perlembagaan parti.

Ceramah pertama saya bersama calon PN Bukit Lada, Salim Mahmood di Kampung Jabi dan Kampung Aman 31 Julai lalu,” katanya.

Haris yang juga AJK UMNO Bahagian Pokok Sena dalam pemilihan baru-baru ini tegaskan, akan terus berkempen untuk PN seperti dilakukan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim dan Tan Sri Noh Omar, yang dipecat parti.

“Saya harap rakyat dapat melihat kepincangan dalam UMNO sehingga saya tidak lagi mampu untuk menegur dan bertahan, saya tak mahu lagi bersikap kepura-puraan untuk bersama parti.

“Saya ajak semua rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan PN untuk memerintah semula negeri ini,” kata pegawai perhubungan pendidikan negeri, Yayasan Pelajaran Mara ini.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!