Luqman Hakim penanda aras ke KV Kortrijk

Luqman Hakim (tiga kiri) antara permata baharu bola sepak negara pada masa depan.
Luqman Hakim (tiga kiri) antara permata baharu bola sepak negara pada masa depan.
A
A
A

PEMILIK KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan tidak menolak kemungkinan lebih ramai pemain muda negara ini yang akan direkrut menyertai kelab Belgium berkenaan.

Menurutnya, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin akan menjadi penanda aras untuk kelab Eropah itu memilih pemain lain yang layak untuk beraksi bersama De Kerels.

“Memang impian saya (untuk bawa pemain lain ke Kortrijk). Jika Luqman berjaya sudah tentu ada pemain bola sepak lain yang saya akan bawa. Mereka bukan hanya berpeluang bermain di Kortrijk tetapi juga di kelab Eropah lain.

“Jika ada pemain yang bagus, kita sanggup bawa ke kelab (Kortrijk). Buat masa ini Luqman terpilih dan ini peluang dia dan Malaysia buktikan. Kita doakan semoga Luqman berjaya,” katanya.

Terdahulu, Luqman Hakim yang sebelum ini beraksi bersama Selangor 2 sah mengikat kontrak lima tahun bersama Kortrijk, bakal berlepas ke Belgium minggu depan untuk memulakan karier profesionalnya bersama kelab tersebut.

Kejayaan penyerang kelahiran Kota Bharu itu bakal menyaksikan lebih ramai pemain negara ini terutama pemain muda akan mengembangkan karier di bumi Eropah.

Luqman ketika sesi latihan skuad B-19 di Kompleks Sukan PKNS, semalam.
Luqman ketika sesi latihan skuad B-19 di Kompleks Sukan PKNS, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan Selangor berpeluang menghantar lebih ramai pemain berbakat ke kelab berkenaan seperti mana perjanjian yang dicapai bersama Kortrijk.

Artikel Berkaitan:

“Kita di FAS berpeluang untuk menghantar pemain muda ke Kortrijk setiap tahun dan jika ada bakat yang baik menarik minat mereka, maka mereka akan menimbangkan latihan dan pendedahan di Belgium. Kita melihat ke hadapan dengan peluang besar sebegini.

“Pemilihan pemain itu sudah tentu akan melibatkan Kortrijk. Kita tidak boleh senang-senang hantar pemain ke sana. FAS hanya bagi cadangan tetapi Kortrijk yang akan tentukan.

“Apa yang memberi kelebihan kepada kita adalah jurulatih Selangor 2, Michael Feichtenbeiner ada pendedahan Eropah yang sangat luas.

"Belgium dan Jerman mempunyai corak kejurulatihan yang hampir sama. Jadi dari segi kepercayaan itu ada. Jika Feichtenbeiner sarankan dan kata pemain bagus, maka peluang untuk Kortrijk terima itu tinggilah,” katanya.