X

Kindly register in order to view this article
!

Aplikasi MyCar kini beralih ke MyCar Super App

Mohd Noah menunjukkan aplikasi baharu MyCar Super App.
A
A

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan e-hailing MyCar kini beralih ke aplikasi baharu MyCar Super App yang berkonsep multifungsi bermula awal bulan lalu.

Dengan muat turun satu aplikasi, pengguna boleh mendapatkan empat perkhidmatan iaitu e-hailing, penghantaran makanan, penghantaran kurier dan beli-belah dalam talian.

Pengasas MyCar, Mohd Noah Maideen berkata, peralihan sistem baharu tersebut menyebabkan aplikasi lama yang mula beroperasi sejak 2018 hingga Julai lalu tidak lagi digunakan dan ditutup sepenuhnya.

Menurutnya, maklumat yang belum sampai kepada pengguna menyebabkan hampir 12,000 pemandu di bawah MyCar terjejas pendapatan ekoran kekurangan tempahan.

"Diakui sejak Mac lalu susulan Covid-19, perkhidmatan MyCar menunjukkan trend penurunan mendadak sebanyak 90 peratus iaitu dari 60,000 tempahan kepada 5,000 tempahan sehari. Ia turut menjejaskan pendapatan pemandu yang sebelum ini boleh meraih pendapatan RM200 sehari kini RM50 atau kurang daripada jumlah itu.

"MyCar kini giat mempromosi semula perkhidmatan dan menggalakkan pengguna untuk memuat turun aplikasi baharu ini sebagai sokongan kepada e-hailing yang dibangunkan syarikat tempatan," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Restoran Rebung Jalan Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Noah pada sidang akhbar yang diadakan di Restoran Rebung Jalan Bukit Aman hari ini.
Mohd Noah pada sidang akhbar yang diadakan di Restoran Rebung Jalan Bukit Aman hari ini.

Katanya, sebagai langkah memperkasakan perkhidmatan tersebut, beberapa langkah segera dan perancangan akan datang telah diatur bagi terus bersaing dalam sektor ekonomi gig tersebut.

"Salah satunya menerusi pengenalan perkhidmatan multifungsi di bawah platform MyCar Super App yang di peringkat awal ini menawarkan perkhidmatan e-hailing manakala tiga kemudahan lain akan dibuka secara berperingkat dijangka pertengahan September ini.

"Pada masa sama sebagai pengenalan aplikasi baharu ini, pemandu akan mendapat bayaran penuh dan tiada penolakan komisen diambil MyCar sehingga akhir bulan ini," katanya.

Katanya, MyCar beroperasi di seluruh negara dengan jumlah penumpang paling aktif adalah sekitar Lembah Klang diikuti Johor, Kota Kinabalu dan Kuching.

"Aplikasi MyCar adalah e-hailing kedua terbesar selepas Grab. Hampir tiga juta pengguna memuat turun aplikasi sebelum ini namun setakat ini hanya 60,000 daripadanya telah beralih ke aplikasi baharu MyCar Super App.

"Teruskan sokongan kepada sistem baharu kami. Di peringkat awal ini, terdapat beberapa masalah teknikal yang masih ditambah baik dan dijangka selesai sepenuhnya dalam masa terdekat," katanya.

Katanya, pengguna boleh memuat turun aplikasi ini menerusi Google Play dan App Store.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!