Buruh digantung bunuh tiga beradik

Shahrul Pitri dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh tiga beradik di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Shahrul Pitri dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh tiga beradik di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang buruh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah membunuh tiga kanak-kanak dua tahun lalu.

Hakim Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 37, di akhir kes pembelaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh tiga beradik, Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5, Muhammad Firash Zafrill, 3, serta Nur Zia Fasihah, dua tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah projek bantuan bina rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang pada 17 Mei 2018.

Tertuduh juga didapati bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 307 kanun sama iaitu cuba melakukan pembunuhan dengan menggunakan parang kepada ibu mangsa, Zuraidah Mat Ali, 37, di tempat dan masa yang sama.

Bagi tiga lagi pertuduhan, tertuduh didapati bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Zuryn Faziera Mohd Fadzil, 11, dan Nur Aina Umaira Subri, 12, serta Redhuan Embi, 34, di dua lokasi berasingan di titi pondok dan jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad antara pukul 2.15 petang hingga 2.45 petang hari sama.

Tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua, jika sabit kesalahan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Anselm Charles memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Dalam penghakimannya, Anselm Charles berkata, penilaian maksimum dilakukan terhadap keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan serta hujah-hujah kedua-dua dalam memberikan keputusan.

"Pihak pembelaan mengatakan tertuduh tidak menyedari akan perbuatannya dan tiada niat melakukan kesalahan itu.

"Namun, keterangan saksi mengesahkan tertuduh waras dan tahu tentang perlakuan dan perbuatan yang dilakukannya. Tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah," katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam, T Ellanggovan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang lebih ringan dengan alasan tertuduh menyara ibunya berusia 80 tahun.

"Dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau melainkan tabiatnya dalam penggunaan dadah untuk dirinya sendiri.

"Dia menyesal dengan kejadian itu dan meminta maaf kepada keluarga mangsa," katanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan menyatakan hukuman mati adalah wajar dikenakan apabila mangsa kehilangan tiga anak sekelip mata pada hari pertama Ramadan.

Seramai 38 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil sepanjang perbicaraan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak suspek yang dikenali penduduk kampung sebagai Rambo dalam kejadian amuk di Kampung Haji Mohamad, Selekoh di Rungkup.