KPDNHEP pastikan pelitup muka kanak-kanak pada harga berpatutan

Harga siling pelitup muka kanak-kanak didakwa lebih mahal daripada pelitup muka dewasa sehingga membebankan ibu bapa terutama daripada golongan B40. - Foto hiasan 123RF
Harga siling pelitup muka kanak-kanak didakwa lebih mahal daripada pelitup muka dewasa sehingga membebankan ibu bapa terutama daripada golongan B40. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan pelitup muka kanak-kanak dijual pada harga berpatutan.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pemain industri untuk memastikan harga pelitup muka kanak-kanak tidak membebankan ibu bapa.

“Kita ambil maklum tentang masalah bebanan ibu bapa... kita akan berbincang dengan pemain industri untuk tidak membenarkan harga pelitup muka kanak-kanak dijual lebih tinggi daripada harga maksimum pelitup muka biasa (dewasa),” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kerajaan menetapkan harga siling pelitup muka kanak-kanak yang didakwanya lebih mahal daripada pelitup muka dewasa sehingga membebankan ibu bapa terutama daripada golongan B40.

Terdahulu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), Nanta berkata, KPDNHEP akan menurunkan harga siling pelitup muka lebih rendah daripada RM1.20 susulan maklum balas umum mengenai penetapan harga pelitup muka itu.

Pada 23 Julai lepas, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: