Isu Israel: Pemuda Amanah puji kelantangan, pendirian Tun Mahathir

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketegasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak membenarkan mana-mana rakyat Israel memasuki negara ini adalah selari dengan pembinaan Malaysia baharu.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil berkata tindakan itu dilihat berasaskan prinsip keluhuran undang-undang dan sikap Israel yang tidak menghormati undang-undang tidak boleh dikompromi.

“Justeru itu, Pemuda Amanah menyokong penuh ketegasan Tun Dr Mahathir terhadap Israel dengan tidak membenarkan mana-mana rakyat mereka memasuki negara ini.

“Pendirian ini mencerminkan Malaysia tidak mengiktiraf malah tidak berkompromi dengan jenayah dan kekejaman yang telah dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding mendapat bantahan dari Jawatankuasa Olimpik Israel yang terus memberi tekanan kepada pihak penganjur mengeluarkan visa kepada atlet mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: