X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas jurutera KTMB sekali lagi didakwa rasuah

Tertuduh diiring pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.
A
A

SEREMBAN - Bekas jurutera awam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM72,200 berhubung projek membabitkan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Komuter lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amin Muhammad N Hushaimi, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai Pegawai Badan Awam, iaitu Jurutera Awam, Jabatan Pengurusan Projek, KTMB (ketika itu) secara rasuah menerima suapan daripada Amizah Ahmad melalui akaun CIMB Bank milik adik iparnya Azizi Kassem berjumlah masing-masing RM10,000 melalui akaun CIMB.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelapan, tertuduh menerima suapan berjumlah RM52,200 daripada Syarikat Intelligent Essence Sdn Bhd melalui akaun bank milik adik iparnya.

Suapan itu sebagai dorongan kepada dirinya sebagai pengurus projek supaya tidak mengesyorkan surat arahan berhenti kerja sementara ekoran faktor keselamatan bagi projek cadangan tambahan dan pengubahsuaian pada LRT Stesen Abdullah Hukum sedia ada dan cadangan pembangunan sebuah Stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab kereta api.

Selain itu, projek lain juga ialah cadangan pembangunan mendirikan sebuah Stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 serta kemudahan lain antaranya pejabat pengurusan, kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan, surau dan jejantas pejalan kaki yang berbumbung.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Nilai antara 17 Disember 2015 hingga 3 Julai 2017.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir meminta mahkamah memberikan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Shahidah Muslimah Roslan merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya kini bekerja sendiri dengan menjual laksa selepas diberhentikan kerja pada September tahun lalu.

"Anak guam saya mempunyai tanggungan keluarga iaitu isteri serta dua anak berusia lima dan tujuh tahun. Setakat ini dia tiada rekod lampau dan memberi kerjasama yang baik dengan SPRM semasa tangkapan dan mustahil untuk melarikan diri," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Oktober ini.

Semalam, Mohd Amin dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,450 berhubung tiga projek yang juga membabitkan stesen LRT dan komuter lima tahun lalu.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas jurutera KTMB didakwa terima rasuah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!