X

Kindly register in order to view this article
!

Kereta guru terbakar gara-gara elak kerbau

Anggota bomba berusaha memadamkan api pada kenderaan terbabit dalam kejadian di Kilometer (KM) 38, Jalan Temerloh/Melati, Bera pagi tadi.
A
A

BERA - Seorang guru berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbakar di Kilometer (KM) 38, Jalan Temerloh/Melati, di sini pagi tadi gara-gara ingin mengelak seekor kerbau.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.47 pagi itu, mangsa, Norpamela Muhammad Mohtar, 39, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tementi sempat keluar daripada kenderaan terbabit sebelum kereta itu terbakar.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Honda City dalam perjalanan ke sekolah dari arah Temerloh menghala ke Melati.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, seekor kerbau telah melintas jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut.

"Mangsa hilang kawalan dan terus terbabas ke sebelah kanan jalan hingga kereta itu terbakar.

"Mangsa sempat keluar dari kenderaannya dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kerbau itu mati dilanggar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Redzuan Rahimpudin memberitahu, seramai empat anggota dan seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 6.53 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kenderaan terbabit terbakar.

"Operasi tamat pada jam 7.46 pagi. Kereta terbabit musnah 100 peratus," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!