Blok asrama SMK Seri Kenangan terbakar pagi tadi

Anggota bomba memadamkan kebakaran di SMK Seri Kenangan, Batu Anam, Segamat pada Ahad
Anggota bomba memadamkan kebakaran di SMK Seri Kenangan, Batu Anam, Segamat pada Ahad
A
A
A

SEGAMAT - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Batu Anam di sini terbakar dalam satu kejadian pada awal pagi Ahad.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Aizad Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.58 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 20 anggota dari BBP Segamat dan BBP Bandar Baru Segamat dengan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta sebuah lori tangki dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah blok bangunan asrama pelajar dua tingkat jenis kekal berkeluasan 45 x 6 x 24 7.3 meter. Kebakaran berlaku di tingkat atas bangunan tersebut dan telah memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan tersebut.

Keadaan blok asrama SMK Seri Kenangan yang dijilat api.
Keadaan blok asrama SMK Seri Kenangan yang dijilat api.



"Operasi memadam menggunakan air tangki pam jentera dan pili bomba berhampiran sehingga selesai. Kebakaran tidak melibatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada 4.03 pagi.