Dua tahun kerja baik pulih

Stadium Shah Alam gelanggang keramat The Red Giants.
Stadium Shah Alam gelanggang keramat The Red Giants.
A
A
A

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan kerja baik pulih Stadium Shah Alam mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum venue berkenaan dibenarkan kembali beroperasi.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor telah memberikan kebenaran kepada pihak pengurusan Stadium Shah Alam iaitu Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) Sdn Bhd bagi memulakan kerja baik pulih venue itu sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, Amirudin memberitahu, perancangan pelaksanaan proses baik pulih secara teliti Stadium Shah Alam tergendala disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Malah, perancangan awal baik pulih Stadium Shah Alam seawal Mac lalu juga sedikit terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia hanya dapat bermula (proses baik pulih) sedikit masa lagi.

“Kerja-kerja baik pulih akan membawa kepada penutupan Stadium Shah Alam selama dua tahun iaitu sehingga 2022. Namun, ia bergantung kepada pakej baik pulih yang dipersetujui sama ada melibatkan kerosakan kritikal ataupun baik pulih keseluruhan bagi memastikan stadium berada pada tahap maksimum.

“Kerajaan negeri dan DEFM Sdn Bhd akan berusaha keras bagi memastikan mercu tanda sukan di Selangor ini mendapat pembelaan sewajarnya, apatah lagi Stadium Shah Alam menjadi gelanggang keramat The Red Giants,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak membenarkan Selangor beraksi di Stadium Shah Alam bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini ekoran kerosakan teruk di bahagian bumbung stadium berkenaan.

Kali terakhir Stadium Shah Alam ditutup dalam tempoh lama adalah pada Disember 2015 hingga Mei 2016 ketika proses baik pulih dengan menanam rumput jenis cow-grass selain penambahan sistem pencahayaan lampu limpah daripada 1,200 lux kepada 2,000 lux.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Amirudin mengakui kerajaan negeri Selangor memahami rintihan penyokong bola sepak Selangor dengan pengumuman berkenaan tempoh jangka masa panjang proses baik pulih Stadium Shah Alam.

Namun, beliau berharap penyokong Gergasi Merah dapat bersabar dalam misi memastikan Stadium Shah Alam dapat kembali beroperasi sedia kala tanpa menimbulkan sebarang masalah.

“Kami sangat berharap penyokong dapat memahami proses jangka masa panjang ini bagi pihak kerajaan negeri dan DEFM Sdn Bhd bagi memastikan kerja baik pulih Stadium Shah Alam tidak akan menimbulkan isu lagi sebaik dibuka kembali,” katanya.