Litar pintas punca asrama maahad tahfiz terbakar

Asrama kediaman pelajar perempuan di Jalan Istana Lama, Kampung Bandar, Banting terbakar dalam kejadian pagi tadi.
Asrama kediaman pelajar perempuan di Jalan Istana Lama, Kampung Bandar, Banting terbakar dalam kejadian pagi tadi.
A
A
A

BANTING - Kebakaran di tingkat tiga bangunan asrama Mahaad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Kampung Bandar di sini awal pagi tadi dipercayai berpunca masalah litar pintas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, siasatan awal telah dijalankan berhubung kejadian berkenaan dan mendapati berlaku litar pintas di dewan asrama terbabit yang menempatkan 36 pelajar perempuan.

"Jumlah keseluruhan pelajar perempuan di blok terbabit adalah seramai 72 orang.

"Tiada sebarang laporan kematian atau kecederaan yang dialami pelajar serta guru dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kebakaran mula dikesan oleh pelajar yang menduduki di aras tiga blok asrama pada jam 5.51 pagi apabila melihat api dari bahagian bangunan asrama.

Katanya, kejadian berlaku ketika pelajar sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

"Anggota Unit Forensik Bomba Banting telah sampai ke tempat kejadian untuk mencari punca kebakaran," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, seramai 27 pegawai dan anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.49 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Keanggotaan melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, BBP Telok Panglima Garang, BBP KLIA, BBP Pelabuhan Klang dan BBP Seksyen 7 Shah Alam.

"Sampai di lokasi mendapati kebakaran 40 peratus melibatkan asrama perempuan tingkat empat. Kesemua penghuni selamat dan kebakaran terkawal pada jam 6.24 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, MITS Kampung Bandar mula dibina pada tahun 2000 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2008 dengan mempunyai seramai 55 guru serta 261 pelajar.