X

Kindly register in order to view this article
!

Najib dakwa ekonomi Sabah lembab di bawah Warisan

Tangkap layar Facebook Najib hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kadar pertumbuhan ekonomi Sabah lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan negara dalam tempoh lapan tahun sebelum kerajaan Sabah bertukar tangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, misalnya pada tahun 2017, kadar pertumbuhan itu ialah 8.2 peratus paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9 peratus bagi seluruh Malaysia.

Menurutnya, pada tahun 2016, Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus berbanding kadar 4.2 peratus untuk Malaysia.

"Secara am, ekonomi Sabah telah berkembang pada kadar lebih pesat berbanding purata untuk negeri-negeri lain sebelum parti Warisan (Parti Warisan Sabah) mengambil alih.

"Namun pada tahun 2018, kadar pertumbuhan Sabah jatuh ke 1.5 peratus iaitu paling rendah antara semua negeri-negeri dalam Malaysia, paling rendah sejak 10 tahun yang lalu dan lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan 4.7 peratus Malaysia," katanya melalui catatan di Facebooknya sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkata, itu bermakna Sabah semakin ketinggalan dengan negeri-negeri lain bermula tahun 2018.

"Jika kita perhatikan, kerajaan PH terdahulu dan kerajaan Warisan Sabah tidak pernah melancarkan dan melaksanakan pelan strategik yang wajar bagi pertumbuhan Sabah.

"Projek-projek sedia ada dimansuhkan atau dilambatkan seperti Pan Borneo Sabah pada masa bantuan kepada Warga Sabah diturunkan," katanya.

Najib turut mendakwa projek baharu di bawah Warisan seperti empangan Papar RM3 bilion diberi kepada kroni syarikat terowong Pulau Pinang yang bertapak di semenanjung manakala projek untuk penyelenggaraan jalan berturap Sabah bernilai RM1.5 bilion pula diberi kepada lima syarikat secara rundingan terus termasuk ke sebuah syarikat yang terlibat dengan rasuah Menteri Sabah Peter Anthony.

"Itu antara sebab-sebab ekonomi Sabah dijangka semakin lembab di bawah Warisan," tambahnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!