Kumpul tiga pasukan di Semenanjung

Status Kuching FA dalam saingan Liga-M terus menjadi persoalan ekoran lima pemain kelab itu positif Covid-19.
Status Kuching FA dalam saingan Liga-M terus menjadi persoalan ekoran lima pemain kelab itu positif Covid-19.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) disaran menempatkan tiga pasukan dari Kepulauan Borneo, Sabah, Sarawak United dan Kuching FA di Semenanjung mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) di Semenanjung berikutan senario terkini peningkatan kes pandemik Covid-19 khasnya di Sarawak.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustaffa, kerajaan negeri Sarawak pastinya mengambil langkah proaktif seperti perketatkan semula kawalan pergerakan antara daerah ini termasuklah dengan melaksanakan pengurangan jumlah penerbangan masuk dan keluar dari negeri itu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, MFL perlu mengambil inisiatif membawa ketiga-tiga pasukan ini ke Semenanjung bagi membolehkan saingan perjalanan liga berjalan lancar berikutan situasi semasa itu terutamanya di Kuching pada masa ini.

"Lembah Klang adalah lokasi yang terbaik bagi menempatkan pasukan Sabah, Sarawak United dan Kuching FA bagi memudahkan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) seterusnya memastikan Liga-M berlangsung dengan lancar dalam aspek keselamatan dan kesihatan.

"Tiga pasukan ini boleh sahaja mengunakan penempatan universiti seperti di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) atau Universiti Teknolongi Mara (UiTM) yang mempunyai akses mudah ke padang latihan.

"Penempatan berpusat skuad Sabah, Sarawak United dan Kuching FA ini juga secara tidak langsung membantu mengurangkan kos operasi logistik pasukan Liga Super dan Liga Premier lain untuk terbang lain ke Kepulauan Borneo.

"Ini antara keputusan drastik yang perlu dibuat oleh MFL sebagai pentadbir Liga-M kemudiannya disokong oleh FAM sebagai badan induk yang menaungi ahli-ahli gabungan di seluruh negara apatah lagi baki saingan bakal menyingkap tirai kurang sebulan lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Mengenai peningkatan kos sekiranya gesaan itu dilaksanakan, Mohd Sadek mengakui akan berlaku peningkatan kos khasnya kos logistik, namun menegaskan isu ini dapat diselesaikan sekiranya MFL memohon suntikan dana tambahan dari FAM.

Artikel Berkaitan:

"Di sini MFL boleh sahaja memohon suntikan daripada FAM menerusi dana kecemasan Covid-19 yang diumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada negara ahli gabungan yang terjejas akibat pandemik itu.

"Biarpun sebelum ini FAM menegaskan bahawa dana FIFA itu adalah bagi tujuan belanja pengurusan badan induk bola sepak negara, namun dalam kes Covid-19 tidak salah untuk FAM bersifat prihatin menghulurkan bantuan bagi menampung kos logistik tiga pasukan Kepulauan Borneo ini dalam memastikan kelangsungan saingan liga berjalan lancar.

"Sebenarnya tidak hanya tiga pasukan ini sahaja, sebaliknya pasukan Liga-M lain yang berdepan masalah kewangan dalam membiayai kos operasi perlulah dibantu oleh FAM menerusi suntikan semangat dari dana yang disalurkan FIFA.

“Ini juga sebagai nilai tambah kepada bantuan yang mungkin disediakan oleh kerajaan negeri masing-masing kepada pasukan Liga-M bagi memastikan matlamat saingan Liga-M dapat dilabuhkan musim ini,” katanya.

Pada masa sama Mohd Sadek menegaskan pasukan-pasukan Liga-M lain di Semenanjung juga tidak terkecuali terdedah dengan risiko penularan pandemik Covid-19 dengan peningkatan beberapa kes di kawasan tertentu pada ketika ini.

Sehubungan itu Mohd Sadek menyarankan pemain, jurulatih dan pengurus perlu menjalani kuarantin di penempatan pasukan atau kelab sepanjang berlangsungnya saingan liga bagi memastikan baki saingan liga tidak berkubur awal.

Katanya, pemain, jurulatih dan pengurus perlu ditempatkan di akademik bola sepak negeri masing-masing secara kuarantin bagi mengurangkan kontak komuniti Liga-M dengan persekitaran luar yang terdedah berpotensi menghadirkan risiko Covid-19.

“Ya, pemain, jurulatih dan pengurus serta pegawai yang menekankan disiplin tinggi dalam pematuhan SOP mungkin tidak mempunyai kontak dengan masyarakat luar, tapi bagaimana pula dengan ahli keluarga mereka dan sebagainya?

“Jadi buat sementara ini ketika kes Covid-19 mula mencatatkan peningkatan, kuarantin dalam kalangan komuniti Liga-M perlu diberikan keutamaan pentadbir Liga-M.

“Pendekatan ini perlu dilihat secara positif kerana ia berkait dengan periuk nasi masing-masingnya biarpun boleh disifatkan terlalu ketat sehingga mengekang pergerakan sosial golongan terlibat terutamanya masa untuk bersama keluarga.

“Tapi dengan kemajuan teknologi tiada masalah untuk mereka berhubungan dengan keluarga, namun sekiranya berlaku pengurangan kes boleh sahaja diberikan kelonggaran untuk mereka kembali bersama keluarga,” ujarnya.