X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki 'gelang pink' makan di kedai kena tindakan

Rahmad (kiri) melekatkan pelekat peringatan mesra mengenai prosedur operasi standard (SOP) di Terminal Bas Melaka Sentral, Peringgit hari ini.
A
A

MELAKA - Jabatan Kesihatan Melaka telah mengenal pasti lelaki berusia 24 tahun yang baru pulang dari luar negara yang didakwa ingkar arahan kuarantin di rumah.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Rahmad Mariman berkata, individu yang bekerja sebagai pemetik buah di Australia itu akan dikenakan tindakan selanjutnya.

Menurutnya, biarpun hasil ujian saringan pertama koronavirus (Covid-19) terhadap lelaki yang memakai gelang merah jambu itu negatif namun itu bukan alasan untuk dia tidak mematuhi arahan kuarantin selama 14 hari di rumah.

"Keputusan ujian saringan Covid-19 pertama di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah negatif namun individu itu tetap dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana ingkar.

"Kita memandang berat dan mengambil serius mereka yang tidak mematuhi perintah kuarantin Covid-19," katanya.

Rahmad berkata demikian ketika ditemui pada Ops Hari Raya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Melaka Sentral, Peringgit, di sini hari ini.

Beberapa hari lalu kecoh apabila beberapa penduduk di Kampung Bukit Tembakau, Umbai Jasin yang melahirkan kebimbangan dengan kehadiran seorang lelaki memakai gelang tangan merah jambu pengesanan Covid-19 di sebuah kedai makan.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, susulan itu lelaki terbabit telah diarahkan menjalani kuarantin kedua di rumahnya.

Difahamkan jabatan kesihatan juga sedang menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan bagi mendakwa individu itu di mahkamah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!