RM21 juta bantuan Covid-19 untuk institusi pendidikan Islam

Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
- Foto Bernama
Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM21 juta bagi meringankan beban guru dan institusi pendidikan Islam yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM18,403,780 telah disalurkan kepada 1,830 institusi berkenaan setakat 30 Jun lalu.

Menurutnya, peruntukan bantuan khas Covid-19 itu diagihkan mengikut pecahan 979 tahfiz membabitkan RM6,372,350 dan 204 pondok (RM1,373,530) manakala 647 sekolah agama rakyat (SAR) atau swasta (SAS) sebanyak RM10,657,900.

"Melalui pembentangan Bajet 2020, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta secara 'one-off' bagi selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam.

"Ini meliputi RM25 juta institusi pondok, RM50 juta institusi tahfiz dan RM25 juta sekolah agama yang berdaftar.

"Susulan pandemik Covid-19, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM21 juta daripada peruntukan RM100 juta tersebut untuk meringankan beban guru dan institusi pendidikan Islam," katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Fauziah Salleh (PH-Kuantan) mengenai jenis bantuan kerajaan kepada institusi dan maahad tahfiz yang terkesan akibat penutupan kerana penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan: