Jangan terjerat sindiket tipu menyamar pos laju!

Muhammad Yazid Muhammad Yew
Muhammad Yazid Muhammad Yew
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Pos Laju Malaysia menjadi antara penyumbang kes kerugian terbesar mencecah RM27.61 juta membabitkan 92 kes sejak tahun lalu di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, berdasarkan rekod JSJK Selangor, tahun lalu negeri ini mencatatkan 58 kes dengan jumlah kerugian RM12.17 juta.

Menurutnya, bagi tahun ini untuk tempoh bulan Januari hingga Jun, pihaknya menerima 34 kes dengan kerugian RM15.44 juta.

"Kita mendapati taktik sindiket adalah dengan menghubungi mangsa sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Pos Laju Malaysia. Suspek akan mendakwa terdapat bungkusan yang didaftarkan atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan dan kad ATM yang dihantar kepada alamat tertentu.

"Bagi menakutkan mangsa, panggilan terbabit kemudian akan disambungkan kepada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram sebelum mengarah mangsa memasukkan wang ke dalam akaun peribadi yang diberi suspek," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhammad Yazid berkata, selain itu suspek akan mengarahkan mangsa agar merahsiakan perbualan dan siasatan ini daripada ahli keluarga dan rakan bagi menjerat mangsa agar memudahkan sindiket untuk terus menipu mangsa.

Beliau berkata, sekiranya menerima panggilan sedemikian orang ramai diingatkan untuk tidak mendedahkan sebarang butiran peribadi seperti kata laluan, nombor kad pengenalan serta akaun bank.

Katanya, sekiranya ada siasatan rasmi oleh pihak penguat kuasa, saksi yang dikehendaki akan diminta hadir ke pejabat untuk siasatan lanjut bukannya melalui panggilan telefon.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya menerima panggilan sedemikian, anda diminta untuk merujuknya pada pihak polis, ahli keluarga, rakan untuk pengesahan dan mengelak daripada ditipu suspek. Masyarakat diminta untuk menjaga rapi semua butiran peribadi bagi mengelakkan anda daripada ditipu suspek," katanya.

Tambahnya, selain itu orang ramai juga boleh membuat semakan nombor akaun yang diberi suspek atau yang berkaitan di www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengenal pasti sekiranya akaun terbabit mempunyai rekod atau sebaliknya, Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police atau CCID Infoline di talian 013-2111222.