X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu mabuk: Hukuman penjara dinaikkan sehingga 15 tahun

A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu dibuat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini.

Antara laporan Sinar Harian.
Antara laporan Sinar Harian.

Menurut rang undang-undang itu, pemandu yang menyebabkan kecederaan pula berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Rang undang-undang berkenaan juga menyebut, pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun daripada tarikh sabitan dan tidak kurang tujuh tahun bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan.

Pindaan itu turut melibatkan had alkohol yang ditetapkan iaitu 22mg alkohol dalam 100ml nafas; 50mg alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

Selain itu, rang undang-undang berkenaan juga mengadakan peruntukan bagi takrif 'kenderaan mikromobiliti' iaitu mana-mana kenderaan yang dipacu sumber elektrik.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan meminda Seksyen 41, 42, 43, 44 dan 45 akta itu tidak melibatkan perbelanjaan wang tambahan pihak kerajaan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!