JPNP keluarkan 1,089 kompaun denggi bernilai RM544,500

Norol Azali (kiri) mewakili Wan Rosdy melakukan gimik semburan bersama Abd Rahim (tengah) dan Hamdan sebagai simbolik perasmian program gotong-royong perdana Gugusan Sungai Sungai Isap 2020 di Masjid Al-Falah Sungai Isap hari ini.
Norol Azali (kiri) mewakili Wan Rosdy melakukan gimik semburan bersama Abd Rahim (tengah) dan Hamdan sebagai simbolik perasmian program gotong-royong perdana Gugusan Sungai Sungai Isap 2020 di Masjid Al-Falah Sungai Isap hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,089 kompaun telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JPNP) kepada pemilik kediaman dalam tempoh Januari hingga 18 Julai tahun ini kerana membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan aedes.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah kompaun dianggarkan bernilai RM544,500 itu dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Menurutnya, sebanyak 235 Notis Seksyen 8 APSPP telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes.

"Bagi Gugusan Sungai Isap sahaja sebanyak 141 kompaun dan 19 notis Seksyen 8 telah dikeluarkan.

"Bagi memastikan demam denggi dapat dikawal dan tidak meningkat di kawasan ini, semua individu terutama penduduk hendaklah memastikan tiada aedes di persekitaran mereka dengan meluangkan tidak kurang 10 minit seminggu untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Teks ucapannya yang dibacakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman mewakili menteri besar ketika merasmikan program gotong-royong perdana Gugusan Sungai Sungai Isap 2020 di Masjid Al-Falah Sungai Isap hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Abd Rahim Muda; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah.

Wan Rosdy berkata, sebanyak 1,762 kes demam denggi telah dilaporkan tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 735 kes atau 72 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,027 kes.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua daerah menunjukkan peningkatan kes kecuali daerah Temerloh dan Jerantut.

"Kuantan mempunyai kes demam denggi paling tinggi berbanding daerah lain. Sejumlah 1,241 kes telah dilaporkan iaitu mewakili 70.4 peratus dan peningkatan 145 peratus berbanding tahun 2019 (506 kes).

"Terdapat enam kematian akibat denggi dan daripada jumlah itu empat kematian membabitkan kes di Kuantan," katanya.