Bekas penasihat Dr Rozmey dituduh kes pengubahan wang haram

Abdullah diiringi polis di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Abdullah diiringi polis di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas penasihat peribadi kepada usahawan terkenal, Datuk Dr Che Rozmey Che Din dihadapkan di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM112,672. 21 di antara 10 September 2014 hingga 31 Ogos 2016.

Bagaimanapun, tertuduh, Abdullah Sani Ismail, 65, tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan tersebut.

Hakim Juraidah Abbas kemudiannya menetapkan perbicaraan seterusnya pada 30 Ogos depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin menawarkan tertuduh jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan tersebut.

Abdullah yang diwakili peguambela, Badrul Hisham Abdullah memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak bekerja selain masih menjalani penjara di Penjara Kemunting, Perak atas kesalahan pecah amanah tahun lalu.

Badrul Hisham berkata, isteri tertuduh juga tidak bekerja malah Abdullah telah memberikan kerjasama baik kepada polis dan mahkamah atas pendakwaan kes sebelum ini.

Juraidah kemudiannya menetapkan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selepas selesai hukuman penjara dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan pada 1 hari bulan.

Kesemua pertuduhan disiasat di bawah subseksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel Berkaitan:

Setiap pertuduhan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang dari nilai lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram.