X

Kindly register in order to view this article
!

Status pemain Kuching FA positif Covid-19 dipersoal

B Sathianathan
A
A

‘MACAM mana dia boleh kerja di hospital?’

Itu persoalan yang dilontarkan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan selepas seorang pemain Kuching FA dijangkiti Covid-19 dengan kluster Hospital Sentosa.

Sathianathan berkata, dia hairan bagaimana seorang pemain profesional dan bermain dengan sebuah pasukan profesional boleh dibenarkan mempunyai pekerjaan lain.

“Saya tidak pasti sama ada betul atau tidak dia bekerja di hospital tersebut. Daripada apa yang saya baca di media, memang dia bekerja di situ. Itulah persoalan sekarang. Kalau dia benar-benar seorang pemain profesional, dia tak sepatutnya bekerja di tempat lain, lebih-lebih lagi di tempat berisiko tinggi.

“Saya kurang faham dengan apa yang berlaku dalam Kuching FA. Jika dulu saya mengendalikan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan memang ada anggota mereka yang bermain dalam pasukan dan mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Sama juga macam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Atas sebab pemain itu anggota PDRM yang membolehkan mereka bermain dalam pasukan tersebut. Tetapi Kuching FA ini macam mana pula? Ada industri hospitalkah?” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Dalam masa sama, beliau tidak melihat keperluan untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) dibatalkan, sebaliknya menjadikan contoh liga luar negara sebagai modul terbaik dalam mendepani perkara seumpama itu.

“Perkara ini telah berlaku di beberapa liga di luar negara tetapi liga itu tetap diteruskan. Kita juga masih belum memulakan liga dan hanya bermula 26 Ogos, masih ada masa lagi,” katanya.

Beliau berkata, para pemain dan pegawai pasukan juga perlu sentiasa berdisiplin dan tahu tanggungjawab masing-masing, apatah lagi mereka sudah dimaklumkan bahawa saingan Liga-M akan bermula bulan depan.

“Dalam pasukan Selangor sendiri, kami nasihatkan kepada pemain supaya tidak pergi ke tempat berisiko tinggi kerana ia ada dalam prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Kita juga melarang mereka bekerja di tempat lain,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!