Jambatan kedua Tanjung Lumpur siap September ini

Fadillah menyempurnakan gimik pecah tanah bagi projek pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Pintasan Bukit Setongkol ke laluan baharu ke Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Fadillah menyempurnakan gimik pecah tanah bagi projek pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Pintasan Bukit Setongkol ke laluan baharu ke Tanjung Lumpur di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Projek pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Kuantan bagi menghubungkan bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini dijangka siap pada 25 September ini.

Projek melibatkan pembinaan laluan sepanjang 2.5 kilometer termasuk jambatan sepanjang 451 meter dengan harga kontrak semasa RM155.8 juta itu kini siap 93 peratus.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek yang dilaksanakan secara reka dan bina itu melibatkan pembinaan jalan empat lorong dari Jalan Tanjung Lumpur ke persimpangan Jalan Tanah Putih dan Jalan Pintasan Bukit Setongkol merangkumi 1.5 kilometer laluan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 0.5 kilometer.

Menurutnya, projek itu akan menjadi laluan tambahan kepada jambatan sedia ada yang menghubungkan bandar Kuantan ke Tanjung Lumpur.

"Dengan adanya jambatan dan laluan baharu ini, ia akan mengurangkan kesesakan trafik di bandar Kuantan selain memendekkan jarak dan menjimatkan masa perjalanan kira-kira 15 hingga 30 minit dari arah Bandar Indera Mahkota, Gambang dan kawasan sekitarnya ke Tanjung Lumpur," katanya.

Fadillah meninjau jambatan baharu sepanjang 451 meter yang merentasi Sungai Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini.
Fadillah meninjau jambatan baharu sepanjang 451 meter yang merentasi Sungai Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir meninjau kemajuan dan kelancaran kerja projek tersebut di sini hari ini.

Fadillah berkata, melalui projek itu secara tidak langsung akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang besar khususnya kepada bandar Kuantan dan Pahang amnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, projek yang dimulakan sejak 15 Ogos 2016 itu sepatutnya siap pada 14 Ogos tahun lalu namun ia dilanjutkan kepada 25 September ini atas beberapa faktor.

"Insya-ALLAH projek ini dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan jika tiada masalah lain yang timbul sebelum dibuka kepada umum," katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM47 juta bagi membina jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting merentasi Jalan Kuantan-Gambang ke laluan baharu Tanjung Lumpur.

"Skop projek pembinaan projek ini akan dilaksanakan kontraktor sama Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) melalui perjanjian tambahan dan arahan kerja sudah dikeluarkan 15 Jun lalu," katanya.