Bina kerjaya hasilkan pedang tradisional

Saiful Azhar mengetuk besi yang telah dipanaskan untuk dijadikan pedang Buaya Berenang di bengkelnya di Kampung Jejulok dekat Slow Machang, Pasir Mas. -Foto Bernama
Saiful Azhar mengetuk besi yang telah dipanaskan untuk dijadikan pedang Buaya Berenang di bengkelnya di Kampung Jejulok dekat Slow Machang, Pasir Mas. -Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Walaupun seni pembuatan senjata api tradisional ketika ini semakin hilang ditelan zaman, namun minat terhadap senjata tradisional mendorong seorang pemuda dari Kampung Jelujok dekat Slow Machang di sini memilih 'bergelumang' dengan besi dan api serta sentuhan kreativiti untuk dijadikan sebagai kerjaya.

Saiful Azhar Abd Deraman, 26, yang memiliki sebuah bengkel pembuatan pedang di sebelah rumahnya turut mengakui dia bagaikan tidak pernah 'menganggur' daripada melakukan kerjanya kerana mendapat permintaan tinggi, malah pulangan yang diterima juga agak lumayan.

"Dahulu saya tidak yakin dengan kebolehan sendiri tetapi apabila pedang yang dibuat mampu menarik pembeli dengan harga ratusan ringgit untuk sebilah pedang, keyakinan mulai hadir dalam diri.

"Kini saya mampu membuat pelbagai pedang termasuk pedang yang dinamakan Buaya Berenang, Krabi, Jenawi Sukma, pedang Rotan, Sundang Lipas dan sudah pastinya pedang Melayu," katanya yang turut menerima tempahan pedang Samurai.

Bercerita lanjut, Saiful Azhar yang juga mahir membuat pisau dan golok berkata, beliau berguru dengan abangnya, Mohd Fadzil, 43, selama dua tahun untuk menambah kemahiran dalam seni tradisional itu dan kini mampu menyiapkan sebilah pedang bersama hulu serta sarung hanya dalam tempoh sehari.

Anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu berkata, besi bilah pedang yang dibuatnya berasal dari Jepun dan diperoleh daripada pengedar dari Perak.

Media sosial

Menurutnya, kebiasaannya bilah pedang tersebut akan dipotong sebelum dimasukkan ke dalam api dan ditempa mengikut bentuk yang dikehendaki.

Artikel Berkaitan:

"Saya turut menggunakan mesin untuk menajamkan bilah mata pedang sehingga tajam dan berkilat sebelum membuat sarung serta gagang (hulu) pedang.

"Biasanya sarung dan gagang pedang dibuat daripada kayu akasia, halban dan kundang (setar) kerana kukuh dan mempunyai teras yang pelbagai corak.

"Ia akan menambahkan lagi kecantikan sarung pedang dan kelihatan lebih berseni," kata Saiful Azhar yang namanya juga bermaksud pedang.

Beliau berkata, bidang pembuatan pedang yang diceburinya itu walaupun agak ketinggalan bagi sesetengah orang, namun dengan wujudnya pelbagai platform media sosial, proses memasarkannya menjadi mudah.

Menurutnya, walaupun masih baharu dalam bidang tersebut, pedang yang dibuatnya pernah dijual sehingga RM600 sebilah dan kini mendapat tempahan dari seluruh negara apabila ramai yang berminat menempahnya selepas melihat hasil seni yang dimuat naik di Facebook.

"Dalam sebulan saya boleh menyiapkan sebanyak 30 bilah pedang. Pedang paling panjang yang pernah dibuat adalah sepanjang 36 inci dan paling pendek 24 inci,” katanya. - Bernama