Warga Myanmar dijel 18 bulan curi aksesori pagar Istana Negara

Dua lelaki warga Myanmar dihukum penjara 18 bulan kerana mencuri 62 aksesori pagar Istana Negara. - Gambar hiasan 123RF
Dua lelaki warga Myanmar dihukum penjara 18 bulan kerana mencuri 62 aksesori pagar Istana Negara. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat mencuri 62 aksesori pagar Istana Negara, dua lelaki warga Myanmar dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu ke atas Koma Ahmad Faizal Ahmad, 32, dan Muhfizullok Fozal Ahmad, 31, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula hari ini di Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa mencuri aksesori kepunyaan Istana Negara di kawasan primeter pintu masuk 1 dan pintu masuk 3, Istana Negara, di sini, pada 11.30 pagi, 16 Julai lepas.

Koma Ahmad dan Muhfizullok didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman penjara maksimum dengan alasan ia melibatkan harta Istana Negara yang merupakan lambang kedaulatan negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: