Jangan ikut gaya kerajaan dulu

A
A
A
MALAYSIA Baharu nampaknya mula terikut-ikut dengan ‘Malaysia Lama’ – malangnya dalam hal-hal yang tidak molek! Apa yang satu ketika dulu dikecam semasa menjadi pembangkang, kini dilakukan pula tanpa segan-silu ketika mereka menjadi kerajaan.

Tentu semua masih ingat dulu-dulu setiap kali pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil, pihak pembangkang mengkritik keras wakil kerajaan menggunakan aset awam untuk berkempen. Mereka membuat laporan polis dan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PSRM) menyiasat penggunaan kenderaan kerajaan – contoh van Jabatan Penerangan – ketika berkempen.

Hari ini – setelah lebih enam bulan memerintah – perkara serupa dilakukan juga. Seperti yang jelas terbukti dalam PRK Cameron Highland. Memalukan dan sepatutnya tidak berlaku, ada wakil PH menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik sebuah agensi kerajaan untuk berkempen.

Giliran pihak pembangkang sekarang pula membuat laporan polis dan merujuk amalan busuk itu kepada SPRM. Bagi pihak terlibat, tidak kira kerajaan atau pembangkang, mereka mempunyai alasan dan logik tersendiri untuk mewajarkan apa sahaja sepanjang kempen.

Tetapi bagi rakyat jelata, khasnya pengundi, mereka kecewa sebab apa yang diharapkan daripada pertukaran kerajaan 9 Mei, tidak menjadi kenyataan.

Mereka melihat baik yang lama mahu pun baharu sama-sama ‘kong kali kong’. Sandiwara masih memainkan cerita lama, walaupun pelakon dan pengarah berbeza.

Di luar pentas PRK Tanah Tinggi, pada pentas yang lain ada drama yang lebih menjolok mata, menyakitkan hati, lagi meloyakan tekak.

Perihal Peguam Negara Tommy Thomas, dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjun terkinja-kinja menari sepentas dengan peguam, sepatutnya tidak berlaku.

Gelagat personaliti tertinggi kehakiman itu ditularkan di media sosial, dan segera mencetuskan kemarahan awam, termasuk dalam kalangan kerajaan dan pengamal guaman sendiri.

Artikel Berkaitan:

Acara berdansa ramai-ramai itu dirakamkan pada majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019 di Sabah, baru-baru ini.

Apa perlunya Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara menari pada majlis tersebut? Apakah sekiranya mereka menolak untuk menari mereka akan dianggap sebagai kera sumbang?

Apakah sekiranya dua pegawai tertinggi itu tidak mengikut rentak hadirin malam itu mereka dianggap melanggar etika guaman?

Sebaliknya pada hemat sesetengah pihak dengan Thomas dan Malanjun menari mereka telah sedikit sebanyak mencalarkan integriti kehakiman.

Maka tidak menghairankan ramai, termasuk dalam kalangan pengamal undang-undang sendiri, berpendapat kedua individu berkenaan wajar melepaskan jawatan. Tetapi ada pihak mempertahankan bahawa menari seperti itu tidak salah, tidak melanggar etika, malah adalah aktiviti sosial biasa dalam kalangan guaman.

Mereka berhujah tari-menari seperti itu tidak ada kaitan dengan integriti institusi. Tidak mengapa Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara menari, tidak akan menjejaskan proses kehakiman. Boleh jadi aktiviti sosial biasa, mungkin juga tidak menjejaskan integriti, dan tidak memberi apa-apa kesan terhadap penghakiman.

Tetapi ini tetap tidak sesuai. Malah, para pemimpin dalam kerajaan inilah yang belum lama dahulu menentang habis-habisan apabila Tan Sri Apandi Ali yang ketika itu Peguam Negara menari pada satu majlis menyambut kemerdekaan.

Apakah perkara salah yang dilakukan oleh Peguam Negara dulu tiba-tiba menjadi tidak salah dan ‘hanya aktiviti sosial biasa’ apabila pelakunya adalah Peguam Negara sekarang? Apakah perbuatan yang dahulu dijeritkan sebagai tidak patut lagi merosakkan institusi kehakiman, hari ini hendak didiamkan begitu sahaja?

Bagi orang biasa ini bukan soal integriti. Ini soal ‘double standard’ yang sekarang banyak dilihat – dan dirasai – dalam pentadbiran baharu. 'Double standard' berserta sekian banyak benda tidak molek yang lain – contoh, menteri bercakap tidak bijak, menteri suka buat U-turn, dan sebagainya – boleh mengikis keyakinan orang terhadap Putrajaya.

Siapa juga dalam kerajaan sekarang – menteri, timbalan menteri, pegawai kerajaan – perlu lebih peka, dan sebarang perlakuan yang dianggap ‘lok-lak’ patut sekali dielakkan.

Sekarang era media sosial, sedikit sahaja tersilap akan ada tangan gatal buat rakaman untuk ditularkan, dan rakyat akan melihat semuanya.

Ingatlah, sentiasa ada kamera mengikuti anda, termasuk ketika ada mandi mendedahkan dada dalam ‘bathtub’, atau ketika anda berlatih golf di ruang pejabat.

Di mana-mana, pada bila-bila masa, anda sedang diperhatikan!