Ammar dilantik Ketua Pengarah Tourism Malaysia baharu

Ammar
Ammar
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 12 April lepas, demikian menurut Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Ammar yang sebelum ini merupakan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah dan Oceania) Tourism Malaysia, menggantikan Datuk Zainuddin Abdul Wahab yang bersara wajib pada 10 April lepas.

Ammar telah berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah diberikan kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai Pengarah Kanan Pengurusan selain menerajui Bahagian Perancangan Strategik serta Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan, Pengarah Luar Negeri di Osaka, Jepun dan Moscow, Rusia masing-masing pada 1999 dan 2008 serta Pengarah Negeri Tourism Malaysia Kedah/Perlis pada 2005.

Pada 2021, Ammar mengetuai Sekretariat Pasukan Petugas Gelembung Perjalanan bagi memacu usaha pemulihan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19. - Bernama