Sindiket judi dalam talian kaut RM1.8 juta tumpas

Polis menumpaskan sindiket judi dalam talian yang mengaut keuntungan sebanyak RM1.8 juta daripada hasil judi sejak enam bulan lepas.
Polis menumpaskan sindiket judi dalam talian yang mengaut keuntungan sebanyak RM1.8 juta daripada hasil judi sejak enam bulan lepas.
A
A
A

KUCHING - Polis menumpaskan sindiket judi dalam talian yang mengaut keuntungan sebanyak RM1.8 juta daripada hasil judi sejak enam bulan lepas setelah menyerbu dua premis di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong berkata, dalam serbuan bermula 9 pagi itu sembilan suspek iaitu lapan warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Stampin Baru, tiga wanita asing berumur 21 hingga 26 tahun ditahan serta tiga unit komputer dan tujuh telefon pintar dirampas.

“Serbuan kedua yang dijalankan di sebuah unit kondominium di Jalan Sarip Masahor, polis menahan seorang lelaki tempatan serta tiga lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berumur 20 hingga 36 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Leong berkata, polis turut merampas empat unit komputer dan empat telefon pintar di kondominium itu dan beliau percaya sindiket ini menggunakan dua premis terbabit sebagai pusat panggilan untuk menerima pertaruhan antara RM8,000 hingga RM10,000 setiap hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: