X

Kindly register in order to view this article
!

'Rakaman TikTok perlu kebenaran Finas melucukan'

Nazir Hussin
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kenyataan bahawa rakyat Malaysia perlu mendapatkan kebenaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk rakaman video peribadi dalam media sosial adalah sesuatu yang agak lucu, demikian kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Nazir berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa rakyat Malaysia perlu mendapatkan lesen atau kebenaran daripada Finas bagi melakukan rakaman video termasuk rakaman peribadi menerusi Instagram dan TikTok.

Menurut Nazir, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981, Seksyen 22 (1) digubal bukan untuk menghalang rakyat biasa mengasah bakat kreativiti dan mengekspresikan diri melalui video dalam media sosial.

Katanya, penting bagi Menteri dan Finas membezakan antara penggambaran filem atau dokumentari profesional dengan rakyat biasa yang membuat rakaman untuk akaun media sosial mereka.

"Jika menteri bertegas mahu semua yang membuat rakaman video di media sosial mempunyai lesen dan kebenaran daripada Finas, maka harus ada prosedur yang mudah, pantas dan cepat dalam membuat permohonan secara dalam talian tanpa syarat yang ketat.

ARTIKEL BERKAITAN: Video projek universiti perlu mohon lesen Finas ke, kata Nik Nazmi

"Zaman telah berubah, maka kerajaan juga harus sedia membuat perubahan terutama membabitkan peraturan-peraturan lama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazir sehubungan itu berkata, menteri tidak seharusnya mentafsirkan undang-undang secara rigid sehingga menimbulkan kebencian rakyat khususnya anak-anak muda.

Hari ini, Saifuddin berkata, penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sama ada mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Kata Saifuddin, kementerian melalui Finas mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!