Video projek universiti perlu mohon lesen Finas ke, kata Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peraturan terbaharu kerajaan mewajibkan penerbit filem tradisi dan media sosial memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terus mengundang persoalan ramai pihak.

Terbaharu, Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menyoal Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah sama ada pelajar-pelajar universiti yang perlu menghasilkan dan memuat naik kandungan video di laman sosial sebagai memenuhi keperluan kursus pengajian juga wajib mendapatkan lesen Finas.

"Saya ingin bertanya bagaimana dengan student-student (pelajar-pelajar) yang diarahkan pensyarah mereka untuk 'upload' video untuk 'assignment' dan mereka kena upload video bagi memenuhi projek final semester?

"Mereka kena menghadap Finas di mana supaya mereka (boleh) dapat lesen?

"Mereka perlu melakukan (upload video) untuk memenuhi projek final semester di universiti dan keperluan lesen adalah selaras dengan peraturan baharu ditetapkan kerajaan Perikatan Nasional dan Datuk sendiri," katanya dalam satu klip video dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Secara berseloroh, Nik Nazmi turut bertanya sama ada tindakannya memuat naik klip video berkenaan juga perlu mendapat lesen kebenaran daripada Finas.

"Memandangkan saya cari Datuk Saf (Saifuddin) di Parlimen tetapi tidak jumpa, jadi saya terpaksa upload video ini untuk tanya Datuk.

"Soalan pertama, saya hendak tahu, kalau upload video ini, kena minta lesen Finas atau tidak?" katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Saifuddin sewaktu menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini menegaskan penerbit filem wajib memohon lesen SPP, sama ada mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau secara tradisi.

Menurutnya, Kementerian melalui Finas mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.

Saifuddin turut menjelaskan tafsiran filem turut merangkumi perkara Seksyen 2, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (pindaan 2013) yang menyatakan filem termasuk filem cerita pendek, subjek ringkas, 'trailer', dokumentari, filem kecil iklan dan apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan termasuk pita video dan ceper video berupa arca bergerak, sama ada disertai dengan bunyi atau tidak untuk dilihat oleh orang ramai atau mana-mana golongan ramai.