Suri rumah didakwa pukul jiran hingga patah tangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Selepas dituduh mengugut mencederakan jiran dengan parang semalam, seorang suri rumah hari ini sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dakwaan memukul jirannya sehingga patah tangan.

Bagaimanapun, tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, dari Bukit Payong, Marang mengaku tidak bersalah pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini.

Berdasarkan pertuduhan, Noor Aini didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Adib Rahim Awang, 57, menggunakan sebatang kayu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di jalan hadapan sebuah rumah di Taman Sri Payong, Bukit Payong, Marang kira-kira jam 7.15 petang pada 14 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Hakim Mohd Azhar Othman kemudian membenarkan tertuduh ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan 24 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.

Di Mahkamah Majistret Marang semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah pertuduhan mengugut mencederakan anak kepada Adib Rahim iaitu Azizah Adib Rahim, 25, menggunakan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Payong, Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang jam 6.45 petang pada 13 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Pergaduhan tertuduh dengan dua beranak itu dipercayai berpunca daripada kucing tertuduh yang dikatakan masuk ke rumah mangsa sehingga membawa kepada perselisihan faham.

ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah didakwa ugut jiran guna parang