Terompah kayu jadi warisan budaya

Terompah merupakan pengalas kaki yang diperbuat daripada kayu dan digunakan seharian oleh masyarakat pada suatu masa dahulu.
Terompah merupakan pengalas kaki yang diperbuat daripada kayu dan digunakan seharian oleh masyarakat pada suatu masa dahulu.
A
A
A

GEORGETOWN - Pembuat terompah dari Pulau Pinang, Angeli Choo berharap hasil tangannya itu akan mendapat pengiktirafan rasmi sebagai warisan budaya sejak berzaman oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Angeli Choo, 52, berkata, terompah kayu atau ‘Kah Kiak’ dalam slanga Hokkien telah sekian lama menjadi warisan Pulau Pinang dan perniagaan terompahnya itu bukan sahaja bagi tujuan memenuhi permintaan tempatan tetapi juga untuk tuntutan sektor pelancongan.

Katanya, beliau berharap hobinya itu akan dapat menghidupkan kembali penggunaan satu daripada barangan rumah tradisional yang biasa digunakan di sini pada tahun 1970.

Angeli Choo bermula dengan hobi namun kini sudah mempunyai sebuah kilang untuk menghasilkan terompah di Georgetown.
Angeli Choo bermula dengan hobi namun kini sudah mempunyai sebuah kilang untuk menghasilkan terompah di Georgetown.

“Jarang-jarang sekali kita lihat generasi muda memakainya sekarang. Jadi kadangkala memang ada orang tua yang datang ke kedai ini membawa anak cucu untuk ditunjukkan kepada mereka barang-barang ini, mendidik dan menceritakan tentang adat resam dan budaya kita,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Rangoon di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, perniagaan membuat dan menjual terompah itu bermula sebagai hobi semata-mata dan beliau menggalakkan anak-anaknya untuk turut serta membuat terompah semasa cuti sekolah mereka.

“Tidak lama kemudian hobi saya ini menarik perhatian ramai dan mereka bertanya sekiranya saya menjualnya (terompah), kemudian barulah suami saya beri cadangan untuk memulakan satu perniagaan menerusi hobi ini,” katanya.

Angeli Choo berkata, beliau bersama suaminya, Teh Guan Heng, 52, memulakan perniagaan menjual terompah kayu pada tahun 2014 di bawah jenama Patricia Choo Collection sempena memperingati ibunya.

Artikel Berkaitan:

Guan Heng menyiapkan terompah yang ditempah pelanggan di kedainya di Georgetown baru-baru ini.
Guan Heng menyiapkan terompah yang ditempah pelanggan di kedainya di Georgetown baru-baru ini.

Katanya, mereka biasanya membuat sendiri antara 10 dan 15 terompah kayu dalam sehari bagi keseluruhan proses pembuatan bermula dari pada memotong kayu sehingga mengecat.

“Disebabkan permintaan tinggi, kini kami mempunyai sebuah kilang untuk kerja-kerja memotong dan melicinkan kayu namun proses lain seperti memaku dan mewarna masih dibuat secara manual di kedai ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedainya itu merupakan antara destinasi pelancongan yang sering disyorkan oleh pemandu pelancong dan telah menarik kehadiran ramai pelancong dari luar negara termasuk dari Singapura, Indonesia malah dari Eropah yang datang untuk membeli terompah sebagai barangan cenderahati.

“Nasib baik semasa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), apabila pergerakan domestik dibenarkan kembali, ada juga pembelian dibuat oleh pelanggan dari negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, terompah amat popular dalam kalangan kaum Melayu satu ketika dahulu dan ia sering dipakai ke surau. - Bernama