Langkah rasionalisasi aset bertujuan perkukuh THP: Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah rasionalisasi aset TH Plantations Bhd (THP) yang dijalankan adalah bertujuan untuk mengembalikan syarikat tersebut sebagai pemain perladangan bersaiz sederhana yang berdaya maju, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata proses rasionalisasi syarikat 73.84 peratus milik Lembaga Tabung Haji (TH) itu melibatkan penjualan beberapa ladang yang didapati tidak mempamerkan prestasi mengikut jangkaan serta pelan penyusunan semula syarikat.

"Penjualan ini bukanlah tindakan membuta tuli. Sebaliknya, ia dilaksanakan secara terancang dan teliti dengan matlamat mengukuhkan kedudukan kewangan yang dibebani oleh hutang yang besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid juga berkata, pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd kepada Tamco Plantation Sdn Bhd pada harga RM170 juta pada 2019 adalah bertujuan untuk menyelesaikan bebanan hutang syarikat tersebut.

Selepas penyempurnaan penjualan itu, THP dapat mengurangkan nisbah hutang kepada 0.94 kali daripada 1.09 kali dan menjimatkan kos pinjaman sebanyak RM9.41 juta setahun, katanya.

Terdahulu, semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk membatalkan penjualan aset syarikat THP berikutan banyak perkara berkaitan yang perlu diteliti semula.

Beliau menegaskan bahawa penjualan aset THP tidak akan menyelesaikan jumlah hutang yang membebankan syarikat terbabit yang sebaliknya memerlukan penstrukturan semula bagi tujuan menguruskan aliran tunai.

"Soalan penting di sini adalah mengapa terlalu tergesa-gesa menjual (anak syarikat THP) sedangkan harga komoditi yang merupakan instrumen utama kepada TH Plantations, sedang pulih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu sidang media berkata, beliau mahu supaya Suruhanjaya Siasatan di-Raja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat harta TH yang dijual semasa di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, perkara itu tidak boleh diselesaikan setakat laporan polis sahaja.

“Ia mesti diselesaikan melalui RCI dan juga harus dipercepatkan untuk menyiasat apa yang berlaku dalam TH.

“Kita lihat dahulu laporan polis daripada pengurusan TH dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang telah mengeluarkan kenyataan di Parlimen baru-baru ini,” katanya. - Bernama