X

Kindly register in order to view this article
!

Liga Malaysia kekal mula 26 Ogos ini

Datuk Ab Ghani Hassan
A
A

KUALA LUMPUR - Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bersambung pada 26 Ogos ini akan diteruskan seperti yang telah diputuskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah berhubung dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai perkara itu.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini untuk membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos 2020 masih kekal.

"Keputusan untuk menyambung semula Liga Malaysia seperti dirancangkan adalah kekal, tiada perubahan setakat ini di mana semua pasukan Liga Malaysia kini sedang giat melakukan persiapan rapi," katanya dalam satu kenyataan media MFL hari ini.

Semalam media tempatan melaporkan KBS akan meminta nasihat KKM dan MKN berhubung penganjuran semula Liga-M ekoran peningkatan jumlah kes Covid-19 di dalam negara, ketika ini.

Liga-M 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat penularan Covid-19 akan bermula pada 26 Ogos dengan aksi serentak Liga Super dan Liga Premier manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober.

Bagaimanapun perlawanan tertunda iaitu aksi Liga Super antara PJ City FC dengan Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier antara UKM FC dengan Kelantan akan berlangsung pada 22 Ogos.

Pada masa sama, Ab Ghani mengingatkan kepada pemain, pegawai dan semua pihak yang terlibat untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan fasa satu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!