Debat isu TH: Abdul Azeez sahut cabaran Mujahid

Hantaran Abdul Azeez di Facebook mengenai persetujuan beliau untuk berdebat dengan Mujahid.
Hantaran Abdul Azeez di Facebook mengenai persetujuan beliau untuk berdebat dengan Mujahid.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyahut cabaran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk berdebat berkaitan isu TH.

Menurut Abdul Azeez, beliau dengan jiwa terbuka bersetuju dengan ajakan debat yang dibuat oleh Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

"Hari ni saya mendapat satu jemputan debat dan saya dengan jiwa yang terbuka bersetuju dengan cadangan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sinar Harian sedia anjur debat Mujahid - Azeez

"Semoga ahli panel yang dicadangkan, YB Parit Buntar dapat memberikan jawapan untuk cadangan debat ini.

"Saya menunggu maklum balas daripada pencadang sama ada YB Parit Buntar sudi dengan jemputan ini. Kebetulan hari raya korban nak dekat dah ni...," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling memberikan cadangan supaya debat bertajuk 'Tabung Haji: Di Mana Silapnya?’ diadakan pada jam 8.30 malam, Selasa ini (28 Julai) bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Beliau turut menyarankan supaya Timbalan Presiden Angkatan Karyawan Nasional (AKAR), Ayatullah Helme Mohd Hanafi dipilih menjadi moderator untuk perdebatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Semalam, media melaporkan Mujahid mencabar Abdul Azeez untuk berdebat mengenai kedudukan institusi kewangan yang menguruskan dana umat Islam itu dan dakwaan-dakwaan perkembangan TH sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau juga tiada masalah untuk menjemput Abdul Azeez membentangkan segala fakta dan dakwaan dalam perdebatan itu nanti.

Katanya, beliau mahu berdebat secara terbuka dengan Abdul Azeez selepas Ahli Parlimen Baling itu galak mencelah ketika beliau berucap di Parlimen pada 15 Julai lalu.