Rakyat Malaysia di Riyadh dalam keadaan selamat - Mohamad Hasan

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Riyadh, Arab Saudi, dilaporkan berada dalam keadaan selamat, susulan ketegangan yang masih berlarutan di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laporan harian yang diterima daripada Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan rakyat Malaysia di kedua-dua bandar berkenaan berada dalam keadaan baik.
"Laporan setiap hari saya terima daripada kedutaan kita di Riyadh dan juga di Jeddah, konsul kita di Jeddah, menyatakan bahawa keadaan rakyat Malaysia semua okey.
"Pekerja-pekerja rakyat Malaysia di situ semua okey,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Luar (KLN) dan tiga lagi premis kerajaan, di sini hari ini.
Mohamad berkata, pihak kedutaan sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di bandar itu bagi memastikan keselamatan mereka.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia di Arab Saudi supaya mengelakkan kawasan awam dan lokasi strategik yang berpotensi menjadi sasaran serangan.
"Seboleh mungkin mereka duduk di rumah dan kita menggunakan e-Konsular untuk mereka dapat berhubung,” katanya.
Mohamad berkata, beberapa rakyat Malaysia di Jeddah turut dilaporkan terkandas buat sementara waktu, susulan pembatalan penerbangan pulang berikutan gangguan operasi syarikat penerbangan Malaysia dan antarabangsa.
Beliau berkata, situasi keselamatan di Arab Saudi masih belum reda, susulan satu lagi serangan yang dilaporkan berlaku semalam.
Serangan itu dilaporkan menyasarkan kompleks Aramco, syarikat minyak Arab Saudi yang mengendalikan kemudahan penapisan dan pengeluaran minyak berskala besar.
Sehubungan dengan itu, Mohamad menasihatkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai keperluan mendesak supaya menjadualkan semula perjalanan ke Arab Saudi sehingga keadaan keselamatan bertambah baik.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad berkata, kementerian hanya dapat menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan di Jepun berkaitan kes dadah, manakala proses perundangan tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa negara itu.
Beliau berkata, Jepun mengamalkan dasar kerahsiaan bagi melindungi privasi individu yang ditahan, justeru lawatan konsular tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran individu berkenaan.
"Kita tidak boleh sewenang-wenang keluarga suruh kita lawat tanpa ada kebenaran daripada orang yang ditahan.
"Jika keluarga mahu kita adakan lawatan konsular untuk melihat kebajikan ataupun apa-apa yang perlu, minta supaya keluarga meminta kepada orang yang ditahan tersebut ataupun mereka yang terlibat tersebut membuat permohonan bertulis kepada pihak pihak berkuasa di Jepun,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan empat lelaki dan seorang wanita warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan di bawah pelapik kasut, Sabtu lepas.
Kumpulan itu dipercayai membawa dadah berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang sebelum kegiatan mereka terbongkar ketika pemeriksaan kastam sejurus tiba di Jepun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
