Majlis doa selamat untuk Tuanku Al Sultan Abdullah

Abd Zaki Md Zain
A
A

KUANTAN - Semua masjid dalam daerah Kuantan dipohon mengadakan majlis doa selamat sempena Pemasyhuran Sultan Pahang ke VI, Al-Sultan Abdullah Ria'yatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah, esok.

Kadi daerah Kuantan, Abd Zaki Md Zain berkata, majlis diadakan serentak di semua masjid seluruh negeri Pahang iaitu selepas solat Maghrib.

"Majlis dipohon diadakan di masjid oleh kariah masing-masing dimulai solat Maghrib, solat hajat dan kemudian disusuli doa selamat, memohon agar ke bawah duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan taufiq hidayah riayah dan inayah, dilanjutkan usia, sihat walafiat berpanjangan, bertambah iman dan takwa.

"Serta negeri dan rakyat Pahang sentiasa di dalam rahmat pemeliharaanNya serta dijauhi sebarang kemudaratan.

"Segala kerjasama yang diberikan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.