Covid-19: 15 kes baharu termasuk 11 penularan dalam negara

Dr Noor Hisham -Foto Bernama
Dr Noor Hisham -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini termasuk 11 penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19, 8,815 kes.

"Daripada 11 kes penularan dalam negara, 10 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

"Satu kes lagi melibatkan warga asing iaitu kes saringan kemasukan baharu ke Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semuja, Sarawak," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, lapan kes penularan tempatan dikesan di Sarawak yang melibatkan lima kes positif daripada Kluster Sentosa.

"Tiga kes lagi dikesan masing-masing satu kes Kluster Pusat Perubatan Kuching, Kluster Stutong dan saringan kendiri bapa penjaga kepada pesakit yang dirawat di pusat perubatan.

"Satu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikesan di Selangor dan pesakit dimasukkan ke Hospital Ampang.

"Satu lagi disahkan dijangkiti wabak itu selepas melakukan saringan Influenza Like Illness (ILI) di Hospital Tawau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, empat kes import dikesan mendapat jangkitan daripada United Kingdom, Arab Saudi, Belanda dan Indonesia.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 130 kes aktif dan sedang dirawat di hospital.

"Bagaimanapun hanya empat kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk seorang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.

"Justeru kes kematian kekal 123 kes," katanya.

Beliau berkata, tujuh kes pulih dan dibenar discaj direkodkan hari ini.

"Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,562 kes iaitu bersamaan dengan 97.1 peratus," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengesyorkan pemakaian pelitup muka bagi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 sekali gus dapat memutuskan rantaian jangkitan.

"Ada dua kaedah dapat mencegah penularan Covid-19 iaitu dengan memakai pelitup muka dan juga mengekalkan penjarakkan sosial.

"Ia dapat memutuskan rantaian sehingga 70 peratus," katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang memperincikan bagi cadangan mewajibkan pemakaian pelitup muka.

"Kita masih melihat denda dan penjara jika tidak memakainya.

"Keputusan muktamad akan diumumkan kerajaan nanti," katanya.