Vincent Tan bimbang keselamatan Sala

Emiliano Sala
A
A

HARTAWAN terkenal negara dan pemilik Cardiff City FC, Tan Sri Vincent Tan amat risau dan tertekan dengan nasib pemain termahal kelab itu, Emiliano Sala, yang dikhuatir mati selepas pesawat ringan dinaikinya hilang di Selat Inggeris.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kelab tersebut, Ken Choo berkata, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah membatalkan sesi latihan pada Selasa lalu berikutan insiden pesawat dinaiki oleh pemain terbaru kelab itu hilang sehari sebelum itu.

“Kami sangat terkejut dengan berita kehilangan pesawat itu. Kami menjangkakan Emiliano tiba di Cardiff malam tadi dan hari ini sepatutnya adalah hari pertama beliau bersama pasukan,” katanya dalam kenyataan di laman sesawang kelab berkenaan, www.cardiffcityfc.co.uk.

“Pemilik kami, Tan Sri Vincant Tan dan pengerusi, Mehmet Dalman sangat tertekan dengan keadaan ini. Kami membuat keputusan pertama pagi ini untuk membatalkan latihan dengan ingatan skuad, staf pengurusan dan kelab tersebut bersama dengan Emiliano dan juruterbang pesawat berkenaan.

“Kami semua di Cardiff City FC ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan seluruh keluarga bola sepak atas sokongan mereka dalam masa getir ini. Kami terus berdoa untuk mendengar berita positif,” katanya.

Kelab tersebut menyatakan ia akan mengeluarkan kenyataan susulan sebaik menerima maklumat lanjut berhubung insiden dan nasib pemain itu.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, Reuters, penyerang dari Argentina berusia 28 tahun itu menaiki pesawat enjin tunggal, Piper Malibu, dari Nantes, Perancis sebelum pesawat berkenaan hilang di Selat Inggeris pada Isnin.

Dilaporkan, Sala , yang sudah pun melengkaplan perpindahan berjumlah €17 juta (kira-kira RM79.86 juta) dari kelab Ligue 1, Nantes ke Cardiff, sedang dalam penerbangan ke ibu kota Wales apabila pesawat dinaikinya terputus hubungan berhampiran Kepulauan Guernsey.

Sala, yang bermain di Perancis sejak 2012, beraksi di bawah kendalian Ranieri di Nantes musim lalu dan menamatkan kempen sebagai penjaring terbanyak kelab dengan 12 gol.

Cardiff City kini berdepan dengan zon penyingkiran EPL selepas menduduki tangga ke-18 daripada 20 pasukan dengan mengumpu 19 mata daripada 23 perlawanan.

Tiga pasukan tercorot dalam liga akan tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan. - Bernama