Polis teliti CCTV kesan pelaku conteng mural pemimpin

Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan kerja-kerja memadam mural dan potret lukisan pemimpin negara yang diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 hari ini. - Foto Bernama
Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan kerja-kerja memadam mural dan potret lukisan pemimpin negara yang diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian untuk mengenal pasti pelaku yang menconteng mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya untuk tindakan lanjut.

"Ini termasuklah meneliti rakaman CCTV di lokasi kejadian. Kita akan kaji untuk kenal pasti pelaku terbabit.

"Buat masa ini saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut. Biar polis jalankan siasatan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau turut mengesahkan telah menerima laporan daripada pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam berkenaan perkara itu hari ini.

Menurutnya, laporan itu menyatakan pihak MBSA telah dimaklumkan kira-kira jam 10 pagi bahawa gambar mural pemimpin negara telah diconteng sebelum bertindak membersih dan mengecat semula dinding berkenaan.

"Siasatan berkaitan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau balai berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Selangor murka, dukacita

Hari ini, tular di media sosial mural memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong di kawasan itu telah diconteng dengan cat berwarna merah.

Selain itu, potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga turut diconteng.

Sementara itu, beberapa rakaman video dan gambar dipercayai berkaitan kejadian terbabit tular di media sosial.

Menerusi video yang dirakam CCTV di lokasi kejadian memaparkan kehadiran sebuah kereta yang diparkir di lokasi terbabit.

Kemudian, keluar dua pelaku disyaki wanita berjalan ke arah mural terbabit sebelum bertindak menconteng potret pemimpin negara itu.

Tinjauan di media sosial juga mendapati rata-rata netizen memberi komen tidak berpuas hati dengan tindakan pelaku terbabit dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas.

Malah, ada juga segelintir netizen yang mengaitkan pelaku terbabit dengan sentimen politik.