Kerajaan timbang mewajibkan penggunaan pelitup muka

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan menimbangkan arahan mewajibkan penggunaan pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan diumumkan apabila kerajaan memuktamadkan keputusan penggunaannya.

"Kerajaan menimbangkan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan perincian mengenainya akan dimaklumkan apabila sudah dimuktamadkan," katanya pada Sidang Media Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata, dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setiap individu dan keluarga merupakan barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, kesan positif dapat dilihat daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Menurutnya, ekonomi negara juga mula rancak kembali dan rakyat dapat menikmati semula kehidupan dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

"Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik Covid-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita istiqamah dalam mengekalkan kejayaan melawan wabak Covid-19.

"Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman bahagia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin turut meminta rakyat di negara ini meneruskan normal baharu dengan mengamalkan penjarakkan sosial, memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan kerap membersihkan tangan.

Katanya, ini kerana normal lama seperti berjabat tangan dilihat kembali diamalkan bahkan ada yang berpelukan antara satu sama lain.

"Ia bagus untuk mengeratkan hubungan persahabatan tetapi jangan lupa kita masih berada dalam proses pemulihan Covid-19.

"Namun ia tidak baik daripada sudut untuk melindungi diri dan orang di sekeliling daripada dijangkiti Covid-19," katanya.