Tukang kayu dipenjara enam tahun bahana dadah

Tertuduh diiringi polis sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh diiringi polis sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan kepada seorang tukang kayu setelah mengaku bersalah atas pertuduhan menghisap dadah.

Hakim Jamaludin Mat juga memerintahkan tertuduh, Mohd Rizan Mamat, 42, dari Ajil, Hulu Terengganu untuk menjalani pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama tiga tahun sebaik hukuman penjara selesai.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam badannya pada 30 Mac tahun lalu, kira-kira jam 2.15 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1)(b) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.

Ia adalah kesalahan ketiganya dan sebelum ini tertuduh mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dikenakan hukuman pada tahun 2005 dan 2018.

Sebaik pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Jamaludin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bermula dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yuhanis Mohd Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: