Kementerian bincang tambah dana Tekun bantu PKS

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan sedang berbincang untuk menambah dana Tekun Nasional bagi menyalurkan bantuan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan mengenai perbincangan tersebut akan diketahui dalam tempoh seminggu hingga dua minggu.

“Sebenarnya peruntukan kepada Tekun ada batasannya dan bantuan sedemikian dibuat oleh pihak Bank Simpanan Nasional.

“Bagaimanapun, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan untuk menambah peruntukan kepada Tekun supaya kita dapat memberi bantuan kepada PKS," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) mengenai PKS yang tidak menerima Geran Khas Prihatin bagi PKS sebanyak RM3,000 di sini.

Wan Junaidi berkata, kementerian turut berhasrat untuk mewujudkan sistem pembiayaan alternatif seperti pendanaan awam dan modal teroka untuk usahawan bagi mengurangkan kebergantungan mereka kepada pembiayaan bank.

“Pada masa ini, banyak syarikat di Malaysia terlalu bergantung kepada institusi perbankan iaitu hanya lima peratus daripada mereka mempunyai dana persendirian,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga telah meluaskan peranannya untuk membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40). - Bernama

Artikel Berkaitan: