Projek pembinaan ILP Serian diteruskan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek pembinaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian di Sarawak diteruskan semula pada 12 Mei lepas dengan status kemajuan kini pada tahap 12.06 peratus, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, projek yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 22.9 hektar itu mengalami kelewatan sebanyak 19.6 peratus berbanding jadual asal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

"Terdapat halangan utiliti tiang elektrik di tengah tapak bina yang perlu dialihkan untuk aktiviti pembinaan dan arahan pembinaan kerja dikeluarkan kepada kontraktor akibat pertukaran skop kerja yang menyumbang kepada kelewatan.

"Kementerian telah mengarahkan kontraktor menyusun semula porgram kerja bagi pelan pemulihan projek. Kontraktor telah kemuka permohonan lanjutan masa (EOT) susulan permasalahan berkaitan dan sedang diteliti kementerian," katanya sebagai menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot anak Jaem (GPS-Serian) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini projek pembinaan ILP Serian.

Projek itu bermula pada 26 April 2018 dan dijadual siap pada 14 Disember tahun hadapan.

Projek berkenaan yang merangkumi lima blok bangunan iaitu bangunan pentadbiran, asrama, kuarters, surau dan kemudahan sukan mampu menampung kira-kira 600 pelajar pada satu-satu masa bagi mengikuti kursus yang ditawarkan kelak. - Bernama

Artikel Berkaitan: