DUN Sarawak bubar berkuat kuasa 26 Oktober ini - Abang Johari

DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa pada 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa pada 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin, 26 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Jumaat. 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Bernama

"Wan Junaidi telah memperkenankan permohonan saya untuk membubarkan DUN dan Yang Dipertua Negeri, selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, telah memperkenankan supaya DUN dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt.

"Selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri, Pilihan Raya Negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran," katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran itu, bagi membolehkan segala urusan berkaitan dilaksanakan.

"Dalam tempoh ini, kerajaan akan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi segala kehendak dan kelaziman perlembagaan yang berkuat kuasa.

"Pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara," katanya.

Mandat semasa DUN Sarawak yang ketika ini mempunyai 82 kerusi, akan berakhir pada Februari 2027.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN Sarawak 18 Dis 2021, GPS pimpinan Abang Johari memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi.

Selepas PSB dibubarkan pada 2024, tiga bekas ADUN parti itu menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), satu daripada parti komponen GPS.

Seorang lagi bekas ADUN PSB See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!