Derita si kecil bersama tiub susunya

Khairun Nas diberikan susu oleh ibunya setiap tiga jam sekali.
Khairun Nas diberikan susu oleh ibunya setiap tiga jam sekali.
A
A
A

TUMPAT - Seorang kanak-kanak sindrom down berusia dua tahun menanggung derita dengan salur makan sempit yang memaksanya bergantung pada tiub untuk hilangkan lapar serta dahaga setiap hari.

Itulah perit ditanggung oleh Khairun Nas Karim setelah dilahirkan tidak sesempurna empat lagi adik-beradiknya yang lain dan kini membesar bersama keluarga di Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu.

Namun di sebalik riak wajah yang mudah tersenyum dan jarang menangis serta sesekali cuba meragut wayar ditampal di pipi kanannya itu seakan-akan menyembunyikan derita ditanggung si kecil yang masih tidak boleh berjalan itu.

Ibunya, Khalijah Ibrahim, 46, berkata, bukan setakat salur makan sempit tetapi anak bongsunya itu juga diuji dengan masalah paru-paru dan juga dada ‘berlubang’ yang memerlukan penjagaan rapi supaya dia tidak mudah menangis kerana boleh menyebabkan sesak nafas.

Pun begitu, bagi Khalijah, ia tidak pernah menganggap kehadiran Khairun Nas sebagai beban buat dia dan suaminya, Karim Hamid, 42, sebaliknya sanggup berkorban apa sahaja termasuk cuti selama enam bulan dengan separuh gaji di awal kelahiran anak istimewa itu.

Wakil daripada KELSS yang menziarahi Khairun Nas di Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat semalam untuk menyampaikan sumbangan hasil persatuan dan derma orang ramai.
Wakil daripada KELSS yang menziarahi Khairun Nas di Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat semalam untuk menyampaikan sumbangan hasil persatuan dan derma orang ramai.

“Hati ibu mana tidak merintih bila melihat anak yang dilahirkan dari rahimnya sendiri berada dalam ICN (intensive care nursery) selama dua bulan dan bergantung kepada oksigen. Tidak tahu sampai bila perlu guna tiub.

“Setelah usia menginjak dua bulan pula melihat dia cuba membuang wayar di pipi, tidak selesa, tetapi itu semua dugaan yang saya terima dengan rela hati demi membesarkan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Khalijah yang bekerja sebagai pembantu perawatan di klinik Kesihatan Pasir Pekan itu juga memberitahu, anaknya bergantung sepenuhnya dengan susu formula khas iaitu, PediaSure dan juga Myotein.

Katanya, dengan gajinya yang cukup-cukup makan, dibantu upah suami sebagai tukang rumah, mereka berjimat cermat kerana kos pembelian susu sangat tinggi selain menampung perbelanjaan tiga lagi anak masih bersekolah.

“Adik kena minum susu lapan kali sehari setiap tiga jam. Satu tin susu yang berharga RM94 hanya bertahan lima hari. Sangat mahal tapi itu yang dia kena minum, pakar tidak benarkan dia diberikan makanan yang pejal, bahaya untuk dia.

“Pernah juga bekalan susu adik hampir terputus, tapi kami ikhtiar supaya adik tidak berlapar. Kalau dia menangis, dia boleh sesak nafas. Itu yang kami takut,” katanya yang bakal mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Ibu lima anak itu juga berkata, Khairun Nas masih meneruskan rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu meskipun naluri ibunya itu amat kuat mengatakan amat tipis peluang untuk ‘adik’ sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain dalam masa terdekat ini.

Khalijah berkata, Kharun Nas kini dijaga oleh pengasuhnya kerana dia dan suami perlu terus mencari rezeki demi kelangsungan keluarganya apatah lagi selepas pandemik koronavirus ini.

Kisah hidup adik Khairun Nas mendapat perhatian Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang menziarahinya bagi menyerahkan sumbangan susu dan lampin untuk kegunaan selama enam bulan termasuk wang tunai RM1,000 bagi menampung perbelanjaan ulang-alik bagi mendapat rawatan di hospital.