Langkah berani naikkan garis kemiskinan

No Image Caption
A
A
A

HAD Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan baru-baru ini meningkat dua kali ganda berbanding sebelumnya dan keputusan kadar garis kemiskinan itu secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi, berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada kadar RM980 sebulan yang dianggap sudah tidak relevan.

Had PGK baharu iaitu RM2,208 telah meletakkan garis kemiskinan negara ini pada kadar lebih realistik iaitu 5.6 peratus berbanding 0.4 peratus sebelum ini.

Ia menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had sebelum ini.

Begitu juga dengan bilangan isi rumah miskin tegar yang mana mengikut PGK baharu ini, jumlahnya pada tahun 2019 adalah seramai 27,158 berbanding 1,752 mengikut had lama.

Ia adalah satu langkah berani kerajaan untuk menangani kemiskinan melalui metodologi yang lebih realistik berbanding data sebelum ini yang dibuat berasaskan metodologi lapuk dan gagal menggambarkan keseriusan masalah itu.

Peningkatan kadar kemiskinan secara drastik akibat krisis ekonomi selepas penularan Covid-19 akan menyukarkan usaha kerajaan untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan kumpulan B40, M40 serta T20 sekiranya masih menggunakan metodologi lama.

PGK berdasarkan statistik yang tepat juga akan membolehkan kerajaan menggubal semula dasar bagi membantu rakyat miskin terutama had gaji minimum RM1,200 yang kini berada jauh di bawah paras kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

Cabaran sekarang adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif dan memberikan ketelusan data yang lebih luas dan bersesuaian.

Kita tidak perlu malu jika indikator baharu menunjukkan tahap kemiskinan yang tinggi kerana itu adalah fakta dan sebagai solusi untuk menyelesaikan masalah. Adalah lebih baik untuk kita menerima hakikat ekonomi dan garis kemiskinan, barulah penyelesaian yang efektif dapat dicari.