Pos APMM baharu di Sipitang

Mohd Rosli Abdullah (empat dari kiri) dan Pengarah APMM Zon Maritim Labuan Komander Nor Bakari Abu Bakar (tiga dari kiri) dalam majlis pertemuan bersama penggiat media sempena lawatan kerja di Labuan hari ini. Foto: Bernama
Mohd Rosli Abdullah (empat dari kiri) dan Pengarah APMM Zon Maritim Labuan Komander Nor Bakari Abu Bakar (tiga dari kiri) dalam majlis pertemuan bersama penggiat media sempena lawatan kerja di Labuan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

LABUAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan akan mempunyai pos maritim baharu di Sipitang, Sabah, tidak lama lagi bagi membanteras secara berkesan aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Rosli Abdullah, berkata, tapak yang sesuai telah dikenal pasti untuk membina pos tersebut dan projek tersebut akan bermula sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, Sipitang merupakan salah satu laluan untuk aktiviti penyeludupan dari pulau bebas cukai ini ke jeti haram tertentu di tanah besar Sabah dan Sarawak.

“Oleh kerana perairan Sipitang berada dalam bidang kuasa APMM zon Labuan, maka pos baharu itu diharap mampu mengurangkan aktiviti penyeludupan dan mengekang kebocoran dalam pendapatan kerajaan,” katanya pada sesi bertemu media di Labuan Point Hotel, di sini, hari ini.

Ini adalah lawatan kerja pertamanya ke Labuan sejak dilantik ke jawatan itu, Mac lalu.

Mohd Rosli berkata, sekurang-kurangnya dua kapal peronda berkelajuan tinggi dan 10 anggota akan ditempatkan di pos baharu tersebut.

Menurutnya, untuk operasi secara berkesan, pos baharu itu akan dilengkapi dengan semua keperluan termasuk bilik operasi, jeti dan kemudahan untuk kapal berlabuh.

Buat masa ini, pergerakan kapal peronda di sekitar perairan Labuan merangkumi Pulau Tiga, Menumbok dan Sipitang serta perairan Lawas, Sarawak diselaraskan oleh maritim zon Labuan.

Artikel Berkaitan:

“Kapal peronda yang bersiap sedia di pos baharu Sipitang boleh digerakkan pada bila-bila masa tanpa menunggu kapal peronda dari Labuan untuk mengejar kumpulan penyeludup yang disyaki,” katanya.

Terdahulu, Mohd Rosli mempengerusikan mesyuarat penggal suku pertama dan kedua APMM Sabah dan Labuan serta mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman. - Bernama