Konsert, teater boleh dihadiri lebih 250 penonton

Nancy Shukri pada sidang media sempena penganjuran Konsert New Normal di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Nancy Shukri pada sidang media sempena penganjuran Konsert New Normal di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran konsert dan teater kini dibenarkan dihadiri lebih 250 orang penonton bergantung kepada kapasiti dewan acara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penganjur perlu mengaplikasikan penjarakan sosial antara penonton serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

"Kita tidak terhad kepada 250 orang tetapi bergantung kepada saiz dan kapasiti ruang dewan. Yang penting perlu ada penjarakan sosial untuk mengelak penyebaran virus ini (Covid-19)," katanya selepas menyaksikan Konsert New Normal di Istana Budaya di sini hari ini.

Mengambil contoh Panggung Sari, Nancy berkata, pihak Istana Budaya hanya membenarkan seramai 505 penonton berbanding 1,413 kerusi yang tersedia.

Pada 10 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah maksimum peserta atau pengunjung di majlis agama, sosial dan rasmi akan diselaras mengikut kapasiti ruang tertakluk kepada penjarakkan sosial bermula 15 Julai lepas.

Konsert New Normal yang diadakan hari ini dan esok itu bertujuan memberikan gambaran dan implikasi kepada setiap penganjur program mengenai garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan protokol Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang perlu diteliti pihak penganjur sebelum mengadakan program sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Antara SOP yang diguna pakai Istana Budaya adalah penonton berumur 12 tahun ke bawah dan 60 tahun ke atas tidak dibenarkan memasuki dewan acara, proses pembasmian kuman dilakukan sebanyak dua kali sehari sebelum dan selepas pementasan, serta penganjur perlu mengehadkan masa pementasan iaitu satu jam setengah.

Mengenai SOP untuk menganjurkan konsert di kawasan terbuka atau stadium, Nancy berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama MKN dan ia akan diumumkan selepas mendapat kelulusan. - Bernama

Artikel Berkaitan: